Sembahyang sunat Taubat adalah sembahyang yang disunatkan. Ia dikerjakan apabila sesudah seseorang melakukan dosa., atau merasakan dia telah berbuat dosa lantas bertaubat ke hadrat Allah SWT
Anjuran taubat ini terkandung di dalam sepotong ayat Quran, di dalam surah Ali Imran ayat 135.
Maksudnya: "Dan orang-orang yang apabila mereka telah melakukan perbuatan keji dan menganiaya diri mereka sendiri, lantas mereka ingat kepada Allah kemudian mereka memohon ampun atas dosa-dosa merekaitu."
Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini bahawa adalah sangat dikehendaki kepada orang yang bertaubat kepada Allah S.W.T agar mengambil wuduk, kemudian sembahyang dua rakaat, sesuai dengan riwayat Imam Ahmad dari Ali Ibn Abi Talib r.a. katanya yang bermaksud:
"Apabila saya mendengar Rasulullah bersabda: maka saya memanfaatkannya (melakukan perbuatan itu) sebagaimana yang diperintahkan Allah. Tetapi apabila saya mendengarnya dari orang lain, maka saya membantahnya, kecuali orang yang menyampaikan itu mahu bersumpah baru saya membenarkannya.
Abu Bakar memberitahukan kepada saya dan Abu Bakar adalah orang jujur, beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, Seseorang yang telah berbuat dosa, kemudian berwuduk dengan wuduk yang sempurna, lantas dia sembahyang - kata Sufyan - kemudian memohon ampun kepada Allah, maka Allah 'Azza Wa Jalla akan mengampunkannya."
Bertaubat dari sesuatu kedosaan itu ialah menyesal akan perbuatan yang dilakukan, bercita-cita tidak akan melakukannya lagi, dan memohon keampunan dari Allah. Jesteru itu, orang yang merasakan dia sudah berbuat dosa hendaklah mengerjakan sembahyang sunat sebanyak dua rakaat dengan memperbanyak istighfar di dalam sembahyangnya itu serta berjanji kepada Allah S.W.T, kepada dirinya sendiri bahawa dia tidak akan mengulangi lagi perbuatan keji itu selama-lamanya
No comments:
Post a Comment