Menjalani liku-liku hidup sebagai seorang
manusia, kita tidak akan dapat lari daripada diuji oleh Allah Azza wa Jalla.
Ujian yang mendatang selalunya menjadikan diri kita lebih tegar dan kuat. Ujian mengajar seseorang untuk jadi lebih lasak dalam menggalas
setiap bebanan kehidupan.
Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan
kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan.
[Al-Anbiyaa’: 3]
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam
menyifatan bahawa ujian yang diberikan kepada kaum manusia adalah tanda
kecintaan Allah kepada mereka. Dan semakin besar dugaan yang diberikan oleh
Allah kepada manusia, menandakan besar juga pahala yang diperoleh. Ini
sebagaimana hadith yang datang dari Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah
Sallallahu ‘Alahi Wassalam bersabda;
Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai
pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai
sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa
yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan
barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. [Riwayat al-Tirmidzi,
al-Albani menyatakannya sebagai hasan dalam Sahih dan Dha’if Sunan
al-Tirmidzi.]
Dalam ayat ke-214 surah al-Baqarah, ada
dinyatakan bahawa orang yang diuji itu akan mendapat pertolongan daripada Allah
serta akan diganjari dengan syurga;
Adakah patut kamu
menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu
(ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu
sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan
serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga
berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah
(datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat
(asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). [Al-Baqarah:
214]
Bentuk-bentuk ujian
yang diberikan
1. Dugaan yang diberikan kepada kaum Nabi Musa
dan Harun adalah dengan anak lembu, yang mana mereka jadikan sembahan.
(al-A’raf: 148, Thohaa: 90)
2. Unta betina sebagai ujian buat kaum Tsamud (al-Qamar: 27)
3. Bangunan-bangunan tinggi (yang mewah) buat kaum ‘Ad (al-Fajr: 7-8)
4. Dugaan yang diberikan ke atas pemilik kebun-kebun dari kalangan kaum Musyrik
dengan kebakaran. (al-Qalam: 17)
5. Ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa serta buah-buahan. (al-Baqarah:
155)
6. Anak-anak serta harta benda sebagai dugaan. (al-Taghabun: 15)
7. Jihad sebagai ujian bagi orang yang beriman (al-‘Ankabut: 6)
8. Nikmat duniawi sebagai ujian buat para manusia. (al-Zumar: 49)
9. Kekayaan dan kemiskinan sebagai ujian. (al-Fajr: 15-16)
10. Kehidupan serta kematian sebagai ujian. (al-Mulk: 2)
Nabi Allah juga diuji
Para Nabi juga diuji. Dan ujian yang dikenakan
kepada para Nabi adalah lebih berat berbanding manusia biasa. Hal ini adalah
seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam;
“Sesungguhnya, manusia
yang menerima ujian yang paling berat adalah para Nabi, kemudian orang yang
mengikuti mereka, kemudian orang yang mengikuti mereka, dan kemudian orang yang
mengikuti mereka.” [al-Silsilah al-Sahihah, al-Albani]
2. Nabi Nuh menghadapi ujian dari anak yang tidak mahu taat kepada Allah. (Huud: 11)
3. Nabi Soleh menerima ujian melalui kaum Tsamud. (al-A’raf:73)
4. Nabi Ibrahim adalah antara Rasul Allah yang menerima banyak ujian, antaranya, penyembelihan anaknya Ismail. (as-Saffat: 102)
5. Nabi Luth diuji dengan kaumnya, (al-A’raf: 80)
6. Nabi Yusuf diuji dengan wanita (Yusuf: 23)
7. Nabi Musa diuji dengan Fira’un yang angkuh. (Thoha: 59-60)
8. Nabi Sulaiman diuji dengan kerajaan yang besar dan mewah. (Sad: 35)
9. Nabi Isa diuji dengan pengikut-pengikutnya. (al-Ma’idah: 112-113)
10. Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga Rasul yang dikenakan dengan banyak, antaranya diuji dengan bapa saudaranya, Abu Talib. (al-Qasas: 56)
kredit:quranal-hadis
No comments:
Post a Comment